28 September, 2008

Beli Unit Amanah Menerusi Internet?

Fundsupermart.com tawarkan yuran lebih rendah

Baru-baru ini, saya ada membaca beberapa rencana iklan di akhbar yang dikeluarkan oleh fundsupermart.com. Mereka menjual unit amanah menerusi Internet dan menawarkan yuran perkhidmatan yang lebih rendah berbanding ejen jualan biasa. Tetapi bukan semua dana ditawarkan, cuma dana syarikat tertentu sahaja, termasuk OSK, Prudential, Affin, TA, PHEIM dan RHB. Laman web tersebut dimiliki oleh OSK.

Perkara yang menarik ialah dana daripada dua gergasi unit amanah, iaitu CIMB dan Public Mutual tidak ditawarkan di sini. Laman ini masih baru lagi dan saya rasa jika anda memang sudah membuat keputusan untuk membeli salah satu daripada dana yang ditawarkan, maka memang berbaloi untuk membeli dari sini. Namun pada pendapat saya keputusan beli masih lagi bergantung kepada prestasi dana. Jika dana daripada syarikat-syarikat prestasi terbaik tidak ditawarkan, mungkin laman ini kurang mendapat sambutan. Tetapi kita perlu tunggu dan lihat selama setahun sebelum kita boleh menentukan sama ada inilah trend pembelian unit amanah pada masa depan.

Tetapi ada satu dana yang ditawarkan yang menarik perhatian saya, iaitu dana indeks OSK KLCI Tracker yang menjejak prestasi Indeks Komposit Kuala Lumpur. Jika anda tidak yakin dengan keupayaan pengurus dana untuk mengatasi prestasi pasaran (lihat artikel saya bertajuk Prestasi Pengurus Dana), inilah dana terbaik untuk dibeli, lebih-lebih lagi dengan paras indeks yang rendah sekarang dan juga yurannya yang berpatutan. Persoalannya ialah adakah CIMB, Public Mutual atau MAAKL akan menawarkan kemudahan pembelian menerusi Internet yang sama untuk dana-dana mereka?

25 September, 2008

Mengintai Peluang Pasaran

Semakin Banyak Saham Boleh Dibeli Pada Harga Berpatutan

Apabila indeks komposit mencecah tahap 1,300 dan seterusnya 1,400 mata awal tahun ini, ramai yang berlumba-lumba membeli saham, sedangkan kebanyakan saham diperdagangkan pada harga yang agak tinggi. Tetapi krisis kewangan dunia dan masalah politik Malaysia telah menyebabkan kejatuhan indeks ke tahap 1,000 mata. Kini lebih banyak saham yang diperdagangkan pada harga yang sangat berpatutan. Yang hairannya tidak ramai orang yang mahu membeli.

Inilah lumrah peserta pasaran. Ramai pelabur melabur dalam jangka pendek. Analisis yang dibuat juga menjurus kepada analisis teknikal, bukannya analisis asas (fundamental analysis). Satu lagi perkara ialah ramai orang kini dalam keadaan bimbang. Dalam situasi tidak menentu ini, pelbagai perkara boleh berlaku, jadi mereka takut kalau saham akan jatuh lagi. Tetapi keadaan tidak seburuk yang disangka. Walaupun keadaan politik bercelaru, asas ekonomi kita sebenarnya kukuh dan kita tidak begitu terasa tempias krisis kewangan sedunia.

Keuntungan paling besar biasanya dicapai apabila membeli dalam keadaan gawat. Siapa yang berani menempuh ketidakpastian boleh meraih manfaatnya. Tetapi mereka juga berpotensi rugi dalam jangka pendek sekiranya saham jatuh lagi akibat perkembangan kewangan dunia dan juga keadaan politik semasa. Pada pendapat saya, pelabur yang berani melawan arus akan meraih untung yang lumayan.

21 September, 2008

Krisis Kewangan Sedunia

Institusi Tersohor Jatuh Seperti Domino
Institusi Perbankan Islam Tidak Terjejas


Baru-baru ini, berita tentang kegagalan Lehman Brothers dan Meryll Lynch menggemparkan dunia. Ini disusuli pula dengan berita Kerajaan AS mengambil alih AIG, sebuah syarikat insurans gergasi dunia. Langkah tersebut merupakan pengambilalihan kedua selepas Kerajaan AS menyelamatkan Freddie Mac dan Fannie Mae yang merupakan institusi pemberi pinjaman perumahan di AS. Punca asas segala kegagalan ini ialah masalah pinjaman perumahan berkualiti rendah atau subprime mortgage. Tetapi cuba bayangkan, mengapa krisis ini menjadi begitu teruk sehingga menular kepada syarikat yang sepatutnya tiada kena mengena dengan pinjaman perumahan.

Puncanya ialah sesuatu yang dinamakan 'securitization' dan juga instrumen derivatif lain, termasuk 'credit default swaps'. Selepas pemberi pinjaman memberi pinjaman perumahan, portfolio pinjaman perumahan yang mereka ada akan disekuritikan (securitized), iaitu dipakejkan dan dijual kepada pihak lain. Jadi pihak lain ini juga terdedah secara tidak langsung kepada risiko pinjaman tadi. Malah, pengsekuritian ini mungkin tidak terhad kepada selapis sahaja, tetapi berlapis-lapis. Semuanya bersandarkan satu aset asal, iaitu rumah. Jika ramai pembeli rumah gagal membayar, institusi pemberi pinjaman akan mengalami masalah, dan mereka pula mengalami masalah membayar kepada institusi ketiga yang membeli portfolio pinjaman daripada mereka dan seterusnya. Sebab itulah krisis ini menular dengan cara yang begitu berleluasa.

Sementara AIG pula mengalami masalah kerana melibatkan diri dalam kredit default swaps, iaitu instrumen derivatif kompleks yang berkaitan dengan kegagalan kredit. Justeru, masalah instrumen berlapis-lapis yang membawa keuntungan lumayan pada masa ekonomi pesat, membawa masalah besar dan menjatuhkan institusi kewangan secara domino apabila berlaku kegawatan.

Institusi perbankan Islam pula tidak terjejas kerana segala urus niaga perlu berasaskan aset nyata dan sebarang instrumen berlapis-lapis yang tidak bersandarkan aset tidak dibenarkan. Selain itu, sebahagian besar daripada derivatif juga tidak patuh syariah, maka bank-bank Islam tidak melibatkan diri dalam instrumen kompleks ini yang dikatakan sangat inovatif tetapi akhirnya membawa musibah.

17 September, 2008

Beroperasi Dalam Suasana Tidak Menentu

Kita perlu membiasakan diri dengan ketidakstabilan politik

Semua perniagaan, terutamanya perniagaan kecil dan sederhana perlu menerima senario politik baru negara kita. Kestabilan yang dialami setelah sekian lama mungkin tidak akan dialami lagi. Tidak ada gunanya bersikap tunggu dan lihat. Perniagaan harus diteruskan. Kita mempunyai tanggungjawab untuk terus menggerakkan ekonomi Malaysia, tidak kira siapa jua yang memerintah. Jika pemindahan kuasa berlaku, ketidakstabilan akan berterusan kerana majoritinya pasti jauh lebih kecil daripada yang ada sekarang. Kalau tiada pemindahan kuasa berlaku, tekanan ke atas kerajaaan yang sedia ada akan berterusan, sehinggalah ke Pilihanraya Umum seterusnya. Kita perlu menerima hakikat ini dan menyesuaikan diri.

Mungkin sejak pilihan raya Mac, Permatang Pauh dan Sept 16, semua orang masih tertanya-tanya bilakah segala ketidakpastian ini akan berakhir. Jangan tunggu lagi, teruskan dengan rancangan perniagaan. Drama yang sedang berlaku akan berlarutan dan mungkin tiada penghujung. Kita sebagai rakyat Malaysia harus meneruskan kerja kita dengan bersungguh-sungguh kerana masa depan negara di tangan kita, bukan di tangan ahli politik. Menjelang akhir tahun ini, mungkin sebahagian besar daripada masyarakat akan mula bosan dengan kerenah ini dan lali dengan segala percaturan. Kegawatan ekonomi dunia, yang sekarang berada di tahap paling serius akan mula reda dalam tempoh yang sewajarnya. Menurut Tang Teng Boo, seorang pelabur terkenal Malaysia yang mengendalikan iCapital, kejatuhan harga komoditi akan memulakan era perkembangan baru. Jadi abaikan segala kerenah politik. Harungi kegawatan semasa dan bersiap sedia untuk fasa perkembangan seterusnya yang mungkin berlaku dalam tempoh satu atau dua tahun lagi.

14 September, 2008

Peluang Dalam Saham Bank Islam?

Harga - RM1.05; EPS 2008 - 22.3 sen; P/E - 4.7

Lebih kurang tiga tahun lalu, Bank Islam mengalami masalah kewangan dan pengurusan, di samping tahap pembiayaan tidak berbayar yang tinggi. Tetapi sejak tahun kewangan lepas, prestasinya semakin meningkat. Pihak pengurusan telah ditukar dan proses pemulihan telah dilaksanakan. Walaupun prestasi bertambah baik, harga sahamnya sekarang rendah kerana dua perkara. Pertama keadaan politik dan ekonomi semasa yang kurang baik. Kedua, mungkin ramai pelabur yang masih ragu-ragu dengan keupayaannya untuk terus mencapai keuntungan selepas masalah yang dialami tiga tahun lalu.

Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mencatatkan Keuntungan Sebelum Zakat dan Cukai (KSZC) berjumlah RM308.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2008 (TK2008), iaitu 30.3% lebih tinggi daripada tahun sebelumnya. Di peringkat Kumpulan, KSZC mencecah angka RM316.9 juta, iaitu 49.5% lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya. Pulangan atas Ekuiti Bank meningkat kepada 26.5% berbanding 23.3% sebelum ini. Pendapatan sesaham (EPS) pula naik kepada 22.3 sen berbanding 16.1 sen pada tahun sebelumnya. Manakala, Nisbah Modal Risiko Berwajaran bank juga meningkat kepada 12.9% berbanding 12.0% pada TK2007.

Deposit pelanggan telah menokok 17.9% kepada RM20.8 bilion. Selain itu, situasi Pembiayaan Tidak Berbayar (PTB) juga semakin baik. PTB Kasar menyusut daripada 22.3% kepada 18.6% manakala PTB bersih berkurangan daripada 11.4% kepada 7.8%. Dari segi peluasan perniagaan, Bank Islam sedang membuat pertimbangan untuk menceburi pasaran Indonesia yang mempunyai begitu ramai penduduk Islam. Berasaskan segala perangkaan dan maklumat ini, harga saham Bank Islam nampak amat berpatutan, terutamanya untuk pelaburan jangka panjang, selagi syarikat dapat dapat terus menambah baik operasi dan membuat keputusan yang tepat apabila menceburi pasaran Indonesia.

12 September, 2008

Politik Jejaskan Ekonomi

Dalam tempoh sebulan ini, dunia perniagaan dan pelaburan agak terjejas dengan kemelut yang melanda politik negara. Dengan segala khabar angin dan ura-ura, ramai pelabur dan peniaga mengambil pendekatan tunggu dan lihat manakala pelabur asing pula membawa keluar modal mereka. Menurut satu sumber, sehingga RM1.1 bilion modal telah keluar pada bulan Ogos sahaja (bukan khabar angin, tetapi kesahihan kenyataan tidak dapat dipastikan).

Bagi kita semua, segala kemelut dan tanda tanya hanya akan terjawab apabila parlimen bersidang semula selepas Raya. Sekiranya ahli parlimen BN tidak dibawa ke Taiwan, segalanya terjawab 16 September ini dan kita semua boleh membuat perancangan sewajarnya, tidak kira siapa yang memerintah. Tetapi sekarang kita terpaksa menunggu lebih lama. Hakikat bahawa ahli parlimen BN diterbangkan ke Taiwan menunjukkan bahawa ancaman ini memang sahih. Diharapkan ahli-ahli politik daripada kedua-dua pihak sedar bahawa percaturan mereka membawa mudarat kepada ekonomi dan menjejaskan tahap keyakinan terhadap negara.

07 September, 2008

Musyarakah Mutanaqisah

Produk pembiayaan perumahan patuh Syariah yang fleksibel

Kita semua sudah tahu tentang BBA atau Bai' Bithaman Ajil, iaitu pembiayaan Islam yang berasaskan kontrak beli dan jual semula. Kontrak ini digunakan secara berleluasa dalam pembiayaan perumahan yang ditawarkan oleh bank-bank Islam tetapi tidak begitu fleksibel. Sebagai contoh, jika anda mempunyai wang lebih, anda tidak boleh sesuka hati menggunakannya untuk melunaskan pembayaran dan mengurangkan kadar keuntungan. Anda perlu memohon kepada bank terlebih dahulu dan terpulang kepada bank untuk memberikan rebet atas kadar keuntungan. Malah jika anda menjual rumah dan menjelaskan hutang, rebet yang diberikan tidak termaktub dalam kontrak, sebaliknya diberikan berasaskan budi bicara bank dan amalan biasa bank-bank di Malaysia. Malah ada kes di mana rebet tidak diberikan sehingga kes sampai ke mahkamah, walaupun perkara ini jarang berlaku.

Dengan Musyarakah Mutanaqisah (MM), pengguna boleh mendapatan pembiayaan perumahan yang lebih fleksibel berasaskan konsep pemilikan bersama dan sewaan. Sebagai contoh, jika anda membayar pendahuluan 10%, anda akan memiliki 10% rumah tersebut dan bank pula memiliki 90%. Setiap bulan, anda membayar ansuran. Sebahagian ansuran tersebut akan digunakan untuk membayar sewa kepada bank untuk 90% daripada nilai rumah dan sebahagian lagi untuk membeli sebahagian daripada pemilikan rumah daripada bank. Sebagai contoh kasar, selepas membuat ansuran selama setahun, anda akan memiliki katakan 15% rumah manakala bank pula 85%. Walaupun bank memiliki sebahagian besar rumah, anda tidak perlu bimbang kerana kuasa ke atas rumah terletak di tangan anda.

Proses ini diteruskan sehinggalah anda memiliki sepenuhnya rumah tersebut. Kadar sewa akan ditentukan mengikut kadar pembiayaan asas dan juga lokasi dan jenis kediaman. Berbeza daripada BBA yang sebahagian besarnya mengenakan kadar keuntungan tetap, MM menggunakan kadar terapung, berasaskan kadar pembiayaan asas. Pembeli rumah juga boleh membuat pembayaran lebih, iaitu jika sesuatu bulan ada duit lebih, jumlah tersebut boleh digunakan untuk membeli lebih banyak bahagian hak milik daripada bank, lantas mengurangkan kadar sewa yang dibayar kerana sewa yang dikenakan hanya ke atas bahagian yang dimiliki oleh bank sahaja. Kontrak MM memberikan tahap fleksibiliti yang sama dengan perbankan konvensyenal tetapi menggunakan konrak berasaskan perkongsian hak milik dan sewa, dengan pemilikan bertambah bagi pengguna secara beransur-ansur dan pemilikan berkurangan secara beransur-ansur bagi Bank. Sebab itulah pembiayaan ini turut dikenali dengan nama diminishing musyarakah.

Setakat yang saya tahu, dua bank besar yang menawarkan MM ialah Maybank dan Citibank (tetapi jumlah ini mungkin sudah bertambah). Maybank ada mengenakan had pembyaran balik dalam tempoh enam tahun pertama kontrak tetapi selepas itu pelanggan boleh membuat pembayaran sesuka hati mereka. Saya tidak begitu pasti dengan had pembayaran yang ditetapkan oleh Citibank. Cuma yang saya dapati semasa membuat perbandingan, kadar sewa Maybank lebih rendah tetapi syarat pembayaran balik Citibank lebih fleksibel (pada waktu perbandingan dibuat). Kalau pembaca berminat, layari laman web kedua-dua bank tersebut.

01 September, 2008

Terpedaya Dengan Kadar Pinjaman Kereta

Tanya Jurujual atau Eksekutif Bank Tentang Effective Rate.

Janganlah terpedaya dengan iklan yang menawarkan kadar pinjaman/sewa beli kereta 2 - 3%. Sebenarnya kadar yang digunakan untuk pinjaman kereta ialah kadar annual percentage rate sedangkan kadar pinjaman perumahan menggunakan effective rate. Kadar piawai yang sepatutnya digunakan ialah effective rate.

Kalau anda tak percaya, cuba lihat dokumen pinjaman anda (kalau sudah ada hutang kereta). Cuba cari effective rate dalam dokumen tersebut. Anda akan dapati jika peratus yang dikenakan ialah 2-3%, effective ratenya ialah antara 5 - 8% (anggaran kasar). Walaupun sesetengah orang sudah tahu tentang amalan ini, memang ramai lagi yang masih tidak sedar dan menganggap kadar pinjaman kereta amat berpatutan.