29 Mac, 2009

Menjaga Penarafan Kredit Anda

Cuba Bayar Semua Hutang Tepat Pada Masanya

Kalau tak silap saya, kira-kira lebih setahun lepas, isu CTOS merupakan isu yang dibincangkan oleh ahli politik dan juga rakyat biasa. Perbincangan berkisar kepada masalah yang dihadapi oleh orang berhutang dan juga orang yang telah diisytiharkan muflis tetapi yang telah menyelesaikan segala tanggungan mereka.

Apabila anda mengambil pinjaman atau berhutang, sama ada pinjaman perumahan, pinjaman kereta, pinjaman peribadi atau kad kredit, anda seharusnya mencuba sedaya-upaya untuk menjelaskan hutang anda tepat pada masanya, iaitu bayar pada tarikh ansuran atau hutang tersebut perlu dibayar.

Ini kerana rekod pembayaran anda, atau lebih dikenali sebagai 'credit history' atau sejarah kredit anda akan menjadi asas penilaian terhadap anda sekiranya anda memohon untuk sebarang bentuk pinjaman pada masa depan. Perlu diingat bahawa pihak yang mengutip maklumat kredit ini bukan satu syarikat sahaja.

Anda mungkin rasa tidak mengapa jika anda tertinggal sebulan dua selagi anda terus membayar kerana bank tidak akan menarik kereta anda atau melelong rumah anda, tetapi jika sikap tidak membayar tepat pada masanya ini menjadi satu amalan biasa, sudah pasti penarafan kredit anda akan terjejas.

Selain itu, walaupun anda telah menyelesaikan segala masalah lama anda, sebagai contoh jika aset anda pernah dilelong kerana gagal membayar, atau anda diisytiharkan muflis tetapi telah membayar balik hutang anda dan tidak lagi muflis, rekod anda telah tercemar dan institusi kewangan akan mengambil kira hal ini.

Satu contoh yang baik ialah jika anda ada hutang kereta dan anda tidak memerlukannya lagi. Anda melepaskan sahaja kereta itu di tangan bank dan tidak membayar ansuran. Walaupun nilai kereta anda itu melebihi hutang dan bank akhirnya dapat menjualnya pada harga yang menampung nilai hutang anda, rekod kredit anda tetap tercemar.

Kontrak hutang ialah seperti sebarang kontrak lain. Apabila anda menandatangani kontrak hutang, anda harus mematuhi syarat-syaratnya dan menghormatinya. Jika tidak anda juga yang rugi pada masa depan nanti.

25 Mac, 2009

Lanjutkan Pengajian Untuk Tingkatkan Keupayaan

Jangan Sambung Belajar Untuk Kelayakan Kertas Semata-Mata

Beberapa bulan lepas, saya terbaca cerita di akhbar mengenai aduan segelintir penuntut matang yang mengambil diploma eksekutif daripada UMCCED (Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya). Mereka tidak puas hati kerana diploma mereka tidak diiktiraf Perkhidmatan Awam. Pihak universiti pula menjawab ini merupakan diploma 'eksekutif' yang bertujuan menambah kemahiran, dan ia diterima oleh sektor swasta.

Pada pendapat saya, apabila kita mengambil kursus di sebuah Pusat Pendidikan Berterusan, matlamatnya ialah untuk meningkatkan kemahiran, bukan mendapat sijil semata-mata. Walaupun pengiktirafan daripada majikan penting, sepatutnya sebab utama kita melanjutkan pengajian ialah untuk menambahkan kemahiran, ilmu dan keupayaan kita supaya kita dapat mencatatkan prestasi lebih baik dalam tugas. Apabila prestasi kita lebih baik dan menyebabkan prestasi majikan meningkat, sama ada dengan menjimatkan kos atau menambah keuntungan, barulah kita diiktiraf dan pangkat atau gaji kita dinaikkan.

Mungkin dulu, apabila kita mendapat ijazah lanjutan seperti Ijazah Sarjana (Masters) atau PhD, kita secara automatik dinaikkan ke gred lebih tinggi. Mungkin ini masih relevan di dalam dunia akademik, kerana tahap kelayakan itu sedikit sebanyak mencerminkan prestasi akademik seseorang dan harus diiiktiraf menerusi pangkat dan gajinya.

Namun dalam sektor swasta, kenaikan tidak akan berlaku secara automatik. Kelayakan lanjutan yang diterima hanyalah sebagai tanda bahawa anda telah lulus kursus yang anda ikuti, dan anda layak memaparkannya dalam resume anda. Namun sama ada anda dinaikkan pangkat atau menerima gaji lebih besar bergantung semata-mata kepada prestasi anda dan manfaat anda kepada majikan.

Cuba kita lihat dari perspektif lain. Jika anda seorang usahawan atau peniaga, dan anda melanjutkan pengajian atau mengambil kursus untuk mengembangkan perniagaan anda, tujuan utama anda belajar ialah untuk meningkatkan kemahiran supaya anda boleh memajukan lagi perniagaan. Tetapi selepas anda habis belajar, tidak semestinya perniagaan anda bertambah maju. Semuanya bergantung kepada ilmu yang anda pelajari dan bagaimana anda mengamalkannya.

Justeru, pada pandangan saya apabila kita mengikuti sesuatu kursus atau melanjutkan pengajian, matlamat utama kita sepatutnya untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan keupayaan diri kita sendiri supaya kita boleh mencatatkan prestasi yang lebih baik. Jika prestasi kita meningkat, barulah pangkat atau gaji lebih tinggi akan menyusul. Sijil yang diterima hanyalah lambang semata-mata, selain daripada cantik dijadikan perhiasan dinding. Tidak lebih daripada itu. Paling penting ialah ilmu yang ditimba bukan ijazah yang diterima.

22 Mac, 2009

Dividen KWSP Sangat Memuaskan

Pulangan positif dalam suasana semasa dialu-alukan

Saya tergelak melihat komen sangat negatif yang diberikan kepada berita mengenai perisytiharan dividen 4.5 peratus oleh KWSP dalam akhbar Malaysian Insider. Saya dapati ramai manusia yang cenderung untuk 'komplen' atau mengkritik, tanpa memahami apa yang dikritik dan walaupun tidak fasih dengan bidang yang dikritik. Main hentam saja.

Berikut adalah antara sebab mereka tidak puas hati:
1. Dividen lebih rendah daripada 5.8% tahun lepas.
2. Dividen lebih rendah diberikan walaupun pendapatan telah meningkat
3. Tidak puas hati kerana peruntukan wang yang dibuat kepada ValueCap.

Soalan pertama sepatutnya tidak perlu dijelaskan langsung. Tinjaulah keadaan ekonomi semasa. Cuba lihat beberapa banyak dana pencen di Barat yang lebih agresif dalam pelaburan mereka seperti Calpers. Hampir semua mengalami kerugian. Pelabur terkemuka Warren Buffet juga mengalami kerugian besar tahun lepas. Malah hampir semua dana unit amanah mencatatkan kerugian besar pada 2008. Indeks Komposit Bursa Malaysia juga jatuh dengan ketara. Pulangan KWSP jauh mengatasi prestasi Indeks Komposit. Apa lagi yang nak dikata?

Pendapatan KWSP telah meningkat tahun ini tetapi dividen yang diiystiharkan lebih rendah. Sebabnya ialah untuk tahun 2009, kemungkinan besar pulangannya tidak seberapa, maka adalah tidak logik untuk mengisytiharkan dividen lebih tinggi tahun ini, dan kemudian memberikan dividen sangat rendah tahun depan. Kedua, nilai aset pelaburan telah turun sejak awal tahun akibat kegawatan, justeru KWSP juga perlu mengambil kira kemerosotan ini.

Faktor ketiga ialah pelaburan dalam Valuecap. Sebenarnya, pelaburan asal dalam ValueCap masih memberikan pulangan positif. Manakala pelaburan baru dalam ValueCap baru sahaja dibuat. Perlu diingat bahawa ValueCap memberikan pulangan yang terjamin kepada KWSP. KWSP tidak akan rugi melainkan Kerajaan jatuh muflis. Bukan ValueCap yang menyebabkan kemerosotan dividen.

Ramai yang sedang marah dengan kerajaan kerana pelbagai perkara, dan saya sendiri setuju dan saya sendiri pun marah. Tetapi pada pandangan saya kita tak boleh main hentam sahaja dalam semua hal. Bagi saya KWSP dan Bank Negara ialah dua institusi yang telah menjalankan tugas masing-masing dengan baik.

Ada satu komen yang mendapat banyak rating positif berbunyi begini "At 4.5% we could do better on our own". Ini sebenarnya komen yang amat jahil memandangkan kerugian besar yang dialami di sana-sini. Sepatutnya biarkan sesiapa saja yang nak melabur sendiri keluarkan wang mereka daripada KWSP. Secara peribadi, kalau boleh saya tidak akan menyentuh wang saya sehingga usia tua.

Nota: Lihat posting saya sebelum ini mengenai KWSP (Kategori Kewangan) untuk melihat bagaimana pulangan jangka panjang KWSP didapati mengatasi pelaburan saham dalam tempoh masa tertentu.

18 Mac, 2009

Menilai Keupayaan Syarikat

Selain Kewangan, Faktor Kualitatif Juga Amat Penting

Ramai yang berpendapat analisis sesuatu syarikat membabitkan prestasi kewangan dan kedudukan perakaunannya. Walaupun kedudukan kewangan penting, tetapi segala laporan kewangan adalah laporan masa lalu. Namun begitu, harga saham syarikat pada masa depan tidak akan ditentukan oleh prestasi masa lalu, tetapi prestasi masa depannya.

Untuk menentukan prestasi masa depan, kita perlu menggunakan analisis kewangan dan juga analisis kualitatif, termasuk meninjau operasi, produk dan pengurusan syarikat. Antara faktor yang sepatutnya diberi perhatian termasuk perkara berikut:

1) Produk dan Perkhidmatan Syarikat
Kita perlu meninjau produk-produk syarikat dan melihat sama ada produk ini mendapat sambutan daripada pelanggan. Prestasi dan kelarisan produk atau perkhidmatan syarikat memainkan peranan penting untuk menentukan prestasi untung syarikat.

2) Jenama
Jenama produk atau syarikat juga penting. Jenama ialah aset penting yang tidak terdapat dalam akaun tetapi sebenarnya amat berharga. Jenama memberikan identiti dan kredibiliti kepada produk syarikat, selain daripada kepercayaan pelanggan. Tetapi kita juga perlu membezakan jenama yang mantap dengan jenama yang kurang diyakini.

3) Kuasa Pasaran
Adakah syarikat mampu menetapkan harga sendiri atau harga produknya ditentukan oleh pasaran terbuka. Jika syarikat hanya price-taker, kemungkinan besar syarikat mengeluarkan barangan komoditi, dan kita perlu meninjau harga komoditi untuk menentukan prestasi syarikat. Kalau harga komoditi rendah, amat sukar bagi syarikat mencatatkan prestasi yang baik.

4) Kuasa Ke Atas Pembekal Input
Adakah syarikat mempunyai kuasa ke atas pembekalnya atau syarikat hanya menerima sahaja harga pasaran. Sebagai contoh, syarikat yang menggunakan minyak sawit sebagai bahan mentah terjejas teruk apabila harga minyak kelapa sawit naik.

5) Pengurusan
Pengurusan ialah satu lagi faktor yang amat penting. Pengurusan yang baik akan sentiasa berhubung dan berterus-terang dengan pelabur dalam keadaan susah dan senang. Tinjau siaran akhbar yang dikeluarkan syarikat, kalau banyak unsur putar-belit dan terlalu menekankan yang positif, kita patut berwaspada dengan mereka. Sebagai contoh jika perolehan meningkat tetapi syarikat mencatatkan kerugian, kita perlu berwaspada jika 'headline' siaran akhbar menyebut perolehan meningkat. Sepatutnya syarikat berterus-terang dan menekankan bahawa syarikat mengalami kerugian.

Kebanyakan maklumat di atas boleh didapati menerusi Internet, sama ada di laman web Bursa Malaysia, laman web syarikat atau laman web akhbar harian dan kewangan.

15 Mac, 2009

Kaizen Dalam Kehidupan

Sentiasa Memperbaiki Diri Untuk Terus Maju

Pada hari ini, saya akan menambah satu kategori baru dalam blog saya iaitu Kaizan. Kaizen ialah perkataan Jepun yang diterjemahkan sebagai 'continuous improvement' atau 'peningkatkan berterusan'. Konsep ini sering diguna pakai dalam suasana perindustrian atau perkilangan. Namun ia amat relevan dan boleh diaplikasi dalam kehidupan harian.

Mengamalkan kaizen dalam kehidupan bermakna kita cuba memperbaiki diri setiap hari dalam segenap aspek hidup, tidak kiralah dari segi hubungan, ibadah, kerohanian, kebijaksanaan, pekerjaan, perniagaan, kesihatan dan juga lain-lain bidang yang berkaitan. Kaizen juga ada disebutkan oleh pakar motivasi terkenal, Anthony Robbins tetapi beliau menggelarnya Continuous and Neverending Improvement (CANI)

Topik ini amat relevan dalam dunia hari ini, di mana kita dibelenggu ketidaktentuan, sama ada ketidaktentuan politik, ketidakpastian tentang kerja, tidak tahu sama ada perniagaan boleh 'survive' dalam tempoh gawat ini atau ketidakpastian tentang nilai aset kita.

Kaizen tidak semestinya peningkatan besar yang dilaksanakan sekaligus, tetapi peningkatan sedikit demi sedikit yang secara kumulatif akan memberikan kesan besar kepada kepada keupayaan, kemahiran dan kewibawaan kita sehingga membawa peningkatan yang ketara dalam tempoh masa tertentu.

Saya rasa konsep ini amat relevan dalam segenap bidang, tidak kiralah sama ada anda bekerja di sebuah kilang, di pejabat, dalam sektor kerajaan, pendidikan atau dalam perniagaan sendiri. Bagi saya Kaizen boleh diamalkan pada segenap peringkat usia. Walaupun tumbesaran fizikal kita mungkin berhenti apabila meningkat dewasa, pertumbuhan minda dan kemahiran kita boleh dan sepatutnya diteruskan sepanjang hayat.

Seseorang yang mengamalkan Kaizen boleh menjadi pakar yang terkemuka dalam bidangnya jika beliau terus meningkatkan diri secara berterusan, tidak kiralah di mana beliau bermula dan berapa rendah tahap pengajiannya. Bakat dan keupayaan semula jadi boleh membantu, tetapi akhirnya kemampuan untuk terus meningkat maju dan memperbaiki diri akan menentukan kejayaan.

Nota Tambahan: 6 Ogos 2009 - Kategori Kaizen Ditukar Kepada Muhasabah

11 Mac, 2009

Waran Saham

Instrumen yang menggandakan untung atau rugi

Waran ialah hak (tetapi bukan kewajipan) untuk membeli saham sesuatu syarikat pada tarikh laksana. Apabila anda membeli waran, anda menerima hak untuk membeli saham syarikat pada harga laksana dan tarikh laksana yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Justeru, seseorang yang membeli sesuatu waran dan memegangnya sehingga tarikh laksana berpotensi untung atau rugi bergantung kepada harga sebenar saham syarikat tersebut pada tarikh laksana. Secara alternatif, pelabur juga boleh menjual waran tersebut di pasaran sebelum tarikh laksana.

Pada tarikh laksana, jika harga laksana lebih rendah daripada harga sebenar saham, pemegang waran membuat keputusan untuk melaksanakan waran tersebut dengan membeli pada harga laksana kerana dia akan mendapat untung. Tetapi jika harga laksana lebih tinggi daripada harga sebenar saham pada tarikh laksana, maka pemilik waran tidak akan melaksanakan hak untuk membeli saham kerana dia akan rugi. Biasanya waran dikeluarkan untuk tempoh lima tahun.

Kita lihat satu contoh yang mudah: Waran untuk saham XYZ dijual pada harga RM0.50, dan harga laksana untuk membeli saham XYZ adalah RM4.00. Pada tarikh laksana, harga saham X jatuh kepada RM3.50. Jika ini berlaku maka waran tersebut tidak akan dilaksanakan kerana pemilik waran mempunyai hak untuk membeli pada harga RM4.00, sedangkan harga pasaran hanyalah RM3.50. Justeru pemilik saham XYZ akan rugi keseluruhan modalnya sebanyak RM0.50.

Sebaliknya jika pada tarikh laksana, harga saham XYZ ialah RM5.00, maka pemegang waran akan melaksanakan haknya dan membeli saham XYZ pada harga RM4.00. Jika dia menjual saham tersebut dengan serta-merta, keuntungan yang diperolehinya ialah RM5.00 - (RM4.00 (kos saham) + RM0.50 (kos waran)) = RM0.50.

Bagaimana kalau pada tarikh laksana, harga saham XYZ ialah RM4.30. Pemegang waran tetap perlu melaksanakan haknya untuk mengurangkan kerugian. Dia akan membeli saham pada harga RM4.00. Dia boleh menjual saham yang baru dibeli itu dengan serta-merta atau memegangnya lagi dengan harapan ia terus naik. Jika di menjual saham, kerugian yang dialaminya ialah RM4.30 - (RM4.00 (kos saham) + RM0.50 (kos waran)) = RM0.20 sen. Jadual di bawah menunjukkan beberapa senario harga saham pada tarikh laksana.
Jadual Untung Rugi Waran



RM
RM
RM
RM
RM
Harga Saham Pada Tarikh Laksana
3.50
4.00
4.30
4.50
5.00
Tolak: Harga Laksana
4.00
4.00
4.00
4.00
4.00
Kos Waran
0.50
0.50
0.50
0.50
0.50
Untung / (Rugi)
(0.50)
(0.50)
(0.20)
0.00
0.50
Peratus Untung / (Rugi) %
(100)
(100)
(40)
0
(100)

Mengapa Beli Waran?

Ini satu soalan yang baik. Mengapa perlu kita membeli waran sedangkan kita boleh beli sahaja sahamnya. Jawapannya ialah faktor leverage atau pengganda. Cuba kita lihat contoh dalam senario terakhir jadual. Kita membeli waran saham XYZ pada harga RM0.50. Harga laksana ialah RM4.00. Pada tarikh luput, harga saham telah naik kepada RM5.00. Maka kita melaksanakan opsyen untuk membeli, menjual saham di pasaran dan mendapat untung RM0.50 selepas menolak kos waran. Labur RM0.50, untung RM0.50. Ini bermakna untung 100%!

Sebaliknya jika kita membeli saham XYZ pada RM4.00 dan menjual pada RM5.00. Kita dapat untung bersih RM1.00. Namun, peratusan untung lebih rendah, iaitu hanya 25%, kerana kita labur RM4.00 dan dapat untung RM1.00.

Dalam senario pertama dalam jadual, kita beli waran pada RM0.50. Harga laksana ialah RM4.00. Namun pada tarikh laksana, harga saham hanyalah RM3.50. Oleh kerana kita rugi kalau kita melaksanakan waran, kita biarkan sahaja waran luput. Apa sudah jadi? Wang pelaburan asal kita hangus!. Labur RM0.50. Satu sen pun tak dapat. Kita rugi 100%!

Mesej yang ingin disampaikan ialah menerusi faktor pengganda, waran boleh menghasilkan keuntungan yang amat besar atau kerugian yang amat besar. Risiko melabur dalam waran lebih tinggi daripada saham biasa.

08 Mac, 2009

Mamee Double Decker Tambah Untung

Mamee Monster Terus Gah Walaupun Ekonomi Meleset

Siapa yang tak kenal Mamee Monster, snek kegemaran ramai di zaman sekolah dahulu (dan mungkin masih menjadi snek kegemaran sehingga dewasa).Walaupun ramai yang suka makan Mamee, hanya segelintir yang menyedari bahawa Mamee Double Decker ialah sebuah syarikat yang mantap.

Pada tahun kewangan berakhir 2008, Mamee telah meningkatkan pendapatan sesaham daripada 21.10 sen pada tahun 2007 kepada 29.77 sen pada 2008. Pencapaian ini agak mengagumkan kerana ekonomi yang semakin merundum pada suku keempat tahun ini.

Prestasi suku keempat 08 sungguh cemerlang apabila syarikat mencatatkan pendapatan sesaham 12.08 sen berbanding 6.87 sen pada suku tahun yang sama 07. Namun prestasi ini tidak menghairankan kerana beberapa sebab.

Pertama sekali kos bahan input, terutamnya harga komoditi, telah runtuh pada suku kempat, membolehkan syarikat untuk mengambil kesempatan daripadanya. Kedua, syarikat ini mempunyai pasaran yang besar di dalam negera dan dalam keadaan sekarang, pasaran domestik amat penting. Ketiga syarikat mempunyai tahap hutang yang amat kecil. Akhir sekali, Mamee mempunyai jenama yang amat kukuh, dan dinilai pada RM87 juta oleh Interbrand.

Aset ketara bersih sesaham Mamee ialah RM2.35, sedangkan harga sahamnya ialah RM1.90. Ini bermakna syarikat ini diperdagangkan di bawah nilai asetnya, dan perlu diingat nilai aset ini belum lagi mengambil kira nilai jenamanya, kerana lembaran imbangan tidak memasukkan nilai jenama.

Dipetik daripada Shareinvestor.com

Dalam keadaan biasa, harga RM1.90 boleh dianggap sebagai satu harga yang sangat menarik tetapi kita sedang berada di dalam keadaan gawat, jadi ada baiknya pelabur mengkaji dulu apa pandangan para penganalisis dan pengulas (jika ada) di akhbar tentang unjuran prestasi syarikat pada tahun 2009.

Nota: Antara produk Mamee termasuk Mamee Slrrrp, Mamee Monster, Nutrigen, Double-Decker dan Nicolet. Untuk maklumat lanjut mengenai prestasi Mamee Double Decker, sila kunjungi Laman Web Bursa Malaysia dan klik pada 'Listed Companies' dan seterusnya 'Company Announcements'.

04 Mac, 2009

Hari Terbuka Truewealth Publications

Beli Buku Pada Harga Diskaun; Dengar Ceramah Penulis

Truewealth Publications akan mengadakan Hari Terbuka pada Sabtu ini, 7hb Mac, dari jam 11 pagi hingga 5.30 ptg. Diskaun sehingga 70% ditawarkan, dan satu buku percuma akan diberikan dengan setiap pembelian berjumlah lebih RM150.

Truewealth Publications ialah syarikat penerbitan yang dimiliki oleh Azizi Ali, penulis kewangan terkenal yang menulis buku tentang perancangan kewangan, pelaburan hartanah dan juga motivasi. Harga yang ditawarkan lebih murah daripada di kedai-kedai buku atau menerusi Internet tetapi tawaran sah untuk satu hari sahaja.

Selain daripada membeli buku pada harga yang murah, pengunjung juga boleh mendengar ceramah ringkas selama setengah jam oleh beberapa penulis Truewealth, termasuk Irwan Dahnil, Gobala Krishnan dan Mohd Suhaimy. Untuk jadual lengkap dan terkini, anda boleh melayari laman webnya di sini, atau menelefon 03-7880 1051.

Saya telah membaca banyak buku yang diterbitkan oleh Truewealth, dan antara yang bermanfaat ialah buku Millionaire's Are From A Different Planet dan Millionaire in Me (ada dalam versi Bahasa Malaysia) oleh Azizi Ali, Wang Anda dan Islam oleh Ustaz Zaharuddin dan Rahsia Internet oleh Irfan Khairi.

Dalam keadaan ekonomi seperti ini, ada baiknya kalau kita meningkatkan ilmu kewangan supaya dapat berbelanja dengan bijak dan membina asas untuk bersara dengan selesa pada masa depan. Selain itu, ini merupakan peluang keemasan untuk membeli buku pada harga murah dan juga beinteraksi dengan beberapa orang penulis secara percuma. Malah anda boleh bertanyakan soalan dalam sesi soal jawab mereka.

Alamat Truewealth Publications: A-2-11, Jalan SS 6/5A, Dataran Glomac, Kelana Jaya. Pejabatnya terletak berhampiran dengan Giant Kelana Jaya. Klik sini untuk peta lokasi.

Nota: Buku saya bertajuk Panduan Bijak Melabur juga diterbitkan oleh Truewealth Publications dan kemungkinan besar boleh didapati mulai bulan April.

01 Mac, 2009

Bolehkah Kita Beli Saham Sekarang?

Hanya Beli Jika Pegang Untuk Jangka Panjang

Setiap hari kita disajikan dengan berita tentang kesan kemelesetan ekonomi. Salah satu daripadanya ialah ialah kejatuhan harga saham. Indeks komposit memang telah menyusut dari tahap tertinggi pada paras 1,400-1500 kepada tahap 800 - 900.

Memandangkan situasi semasa, ramai orang lebih memikirkan soal survival daripada melabur. Tetapi bagi mereka yang sudah menyediakan payung sebelum hujan dan memang ada menabung dana tambahan semata-mata untuk melabur dalam keadaan krisis seperti ini (kerana sedar bahawa kekayaan paling besar biasanya dijana dalam keadaan krisis), anda mungkin tertanya-tanya bila masa paling sesuai untuk melabur.

Sebenarnya tiada siapa yang boleh meramalkan tahap terendah atau tertinggi pasaran atau turun naik pasaran dalam jangka pendek, walaupun pelabur tersohor di dunia, Warren Buffet. Pelabur terkemuka dari Omaha ini memang menanti sahaja situasi seperti ini untuk membeli saham pada harga yang rendah. Tetapi sejak krisis bermula, beliau telah mula membeli dan menyaksikan nilai saham atau kepentingan yang dibelinya jatuh dengan ketara.

Namun Warren Buffet tidak kisah nilai sahamnya jatuh. Ini kerana beliau memegang untuk tempoh yang sangat panjang. Ada saham dipegang lebih 20 tahun. Justeru kalau nilai saham jatuh 1 atau 2 tahun, beliau tidak kisah. Malah, jika diimbas kembali rekodnya, antara saham yang dipegangya pernah jatuh sehingga 50% sebelum naik kembali dan menghasilkan keuntungan berlipat kali ganda.

Justeru kita kembali kepada persoalan yang menjadi topik posting kali ini, iaitu bolehkah kita beli saham sekarang? Jawapannya ialah tentu boleh, malah beli sekarang lebih baik daripada beli semasa ekonomi masih kukuh pada akhir 2007 - awal 2008. Ini kerana jika anda membeli pada waktu itu, anda pasti rugi besar.

Namun begitu nasihat ini hanya berguna untuk pelabur jangka panjang yang sanggup memegang saham untuk tempoh sekurang-kurangya 3 tahun atau sebaik-baiknya 5 tahun. Jika anda membeli syarikat yang kukuh prestasinya, tetapi rendah harga sahamnya akibat tempias kegawatan, anda berpeluang meraih keuntungan lebih tinggi daripada kelas aset lain dalam tempoh yang sama. Tetapi pemilihan saham amat penting. Jika anda tidak pandai atau malas memilih saham, anda boleh membeli ETF atau Unit Amanah yang melabur dalam ekuiti (tetapi perlu kaji dengan teliti prestasi pengurus dananya)

Dalam jangka pendek tiada siapa yang tahu apa akan berlaku. Saham syarikat yang baik pun boleh jatuh akibat faktor di luar kawalan. Walau apa pun, saya rasa anda tidak perlu terburu-buru kerana 'window of opportunity' akan terbuka sepanjang tahun memandangkan kemelesetan ekonomi agak serius. Jika anda membuat keputusan melabur sekarang, pastikan anda membuat kajian teliti sebelum memilih saham atau unit amanah dan memegangnya untuk jangka panjang.