03 Disember, 2013

Jangan Salah Faham Tentang Peraturan No. 1 Warren Buffett : 'Never Lose Money'

Tidak bermakna kita langsung tidak boleh menerima kerugian atau portfolio saham keseluruhan kita tidak boleh menyusut buat sementara waktu

Mungkin anda pernah mendengar tentang peraturan utama Warren Buffett:

Rule No 1: Never Lose Money
Rule No 2: Never Forget Rule No.1

Sebenarnya nasihat ini adalah berasaskan falsafah yang menggalakkan pelabur untuk menyelidik pelaburan dengan teliti supaya mereka dapat mengurangkan kebarangkalian mencatatkan kerugian.



Tetapi ada pelabur yang telah tersalah tafsir peraturan ini dengan mengandaikan bahawa jika mereka beli sesuatu saham dan harganya turun, mereka perlu pegang sehingga saham tersebut naik lebih tinggi daripada harga belian sebelum menjual.

Jika saham yang dibeli adalah saham berkualiti dan prestasinya memuaskan, jangan bimbang tentang penurunan harga. Anda boleh pegang sehingga harga saham naik untuk mencerminkan prestasi sebenarnya.

Tetapi jika anda tersilap membuat penilaian dan saham yang dibeli mencatatkan prestasi yang kurang baik dan dijangka terus dibelenggu masalah, maka harga belian anda tidak patut dimasukkan dalam pertimbangan tentang sama ada saham tersebut patut dijual.

Apa yang perlu dibandingkan ialah nilai saham dan juga harga saham pada waktu itu. Jika anda mendapati prestasi syarikat dijangka terus merosot dan menjejaskan nilai saham, jual pada harga terbaik yang boleh didapati, walaupun anda mengalami kerugian.

Ini kerana wang tersebut boleh digunakan untuk melabur dalam saham lain yang mempunyai potensi lebih besar. Jika anda mahu menunggu sehingga pulang modal sebelum menjual, anda mungkin terpaksa menunggu lama.

Perkara paling penting yang dipertimbangkan ialah prestasi syarikat dan juga peluang pelaburan lain yang wujud pada masa tersebut. 

Dalam keadaan tertentu, syarikat yang lemah akan beransur-ansur bergelumang dalam masalah yang semakin besar sehinggalah mencapai status PN17.

Kesimpulannya ialah jika harga jatuh lebih rendah daripada harga belian anda, anda patut terus pegang sekiranya syarikat tersebut tetap kukuh dan mencatatkan prestasi memuaskan.

Sebaliknya, jika penurunan harga disebabkan masalah serius yang berpotensi menjejaskan syarikat dalam jangka panjang, mula fikirkan untuk jual saham tersebut pada harga terbaik yang boleh didapati, walaupun ia lebih rendah daripada harga belian anda.

Satu lagi perkara yang perlu diingati ialah 'Never lose money' juga bukan bermakna portfolio saham anda secara keseluruhannya tidak boleh merosot buat sementara waktu.

Syarikat Buffett pun turun nilainya semasa krisis subprima tahun 2008, tetapi telah kembali naik dengan ketara pada 2009. Volatiliti adalah lumrah pelaburan, dan sukar untuk mengelakkan penurunan sementara sekiranya berlaku kejatuhan ketara pasaran.

Cuma jika saham yang anda pegang berkualiti, saham akan naik kembali dengan pantas apabila sentimen kembali pulih.

Maksud sebenar 'Never lose money' ialah pelabur patut memikirkan tentang risiko yang wujud, tekun membuat penilaian dan meletakkan margin of safety dalam setiap keputusan pelaburan yang dibuat. 

Peraturan ini bukannya bermakna kita tidak boleh sama sekali melakukan kesilapan atau menerima kerugian. Pendek kata, ia tidak harus ditafsirkan secara literal.

Tiada ulasan: