25 Disember, 2013

Membina Dana Untuk Pelaburan

Menabung Untuk Pelaburan Saham Sejak Dari Usia Muda

Ramai orang berminat untuk melabur dalam pasaran saham tetapi kekurangan modal untuk melabur, terutamanya golongan muda yang masih belajar dan juga yang baru sahaja memulakan kerjaya. 

Malah, masalah ini juga dihadapi oleh golongan kelas pertengahan yang sudah membina keluarga dan mendapati sukar untuk mencari wang tambahan untuk melabur selepas menolak semua kos sara hidup.

Tetapi dalam segala keadaan, perkara pertama yang perlu diutamakan ialah tabungan and bukan pelaburan. Jika anda biasa membaca blog atau buku saya, anda sudah tahu bahawa langkah paling penting untuk membina tabungan ialah memotong 10% daripada gaji bulanan secara automatik ke dalam akaun simpanan.

Secara peribadi, saya menabung menerusi Tabung Haji, dan anda boleh memilih institusi mana yang anda rasa sesuai untuk menabung wang, berasaskan kepada pulangan yang diberikan dan ciri kepatuhan syariahnya.

Selepas tabungan anda telah mencapai 3 - 6 bulan gaji (bergantung kepada keselesaan anda), wang selebihnya boleh digunakan untuk melabur dalam pasaran saham.

Ramai juga yang bertanya saya, apakah modal minimum untuk memulakan pelaburan saham. Sebenarnya jika anda ada RM2,000 atau lebih, anda sudah boleh mula melabur dalam pasaran saham dengan cara yang kos efektif, tetapi bagi saya secara peribadi, adalah amat sesuai jika anda mula melabur dengan RM5,000 dan menambahnya dari masa ke masa.

Persoalannya ialah bagaimana untuk mendapatkan modal tersebut dengan pantas?

Semasa saya masih belajar di universiti dulu, saya mengumpulkan modal dengan bekerja secara sambilan. Begitu juga jika anda sedang bekerja, mungkin anda boleh melakukan kerja sambilan berasaskan projek atau apa jua pekerjaan tambahan lain pada hujung minggu.

Malah sekarang dengan keberleluasan perniagaan Internet, pendapatan tambahan juga boleh diperolehi secara sambilan menerusi Internet.

Memandangkan kerja sambilan atau sampingan ini memberikan anda pendapatan tambahan bersih, anda boleh masukkan semua wang yang diperolehi dalam dana pelaburan anda.

Satu lagi cara untuk mengumpulkan dana ialah menambah tabungan bulanan automatik kepada lebih daripada 10%. Ini akan membolehkan anda mengumpulkan dana dengan lebih cepat.

Anda akan mendapati bahawa segala usaha ini mungkin memerlukan sedikit pengorbanan, seperti bekerja pada waktu malam dan hujung minggu. Di samping itu, anda juga mungkin perlu mengehadkan perbelanjaan bulanan anda untuk lebih cepat mengumpulkan dana.

Selepas jumlah yang ada dikumpulkan, labur dulu wang tersebut, tetapi teruskan mengumpul dana untuk menambah modal pelaburan. Jika anda melakukannya secara konsisten, anda akan mendapati selepas 10 tahun bahawa modal pelaburan anda menjadi semakin besar.

Perkara paling penting ialah kesabaran. Jangan terlalu ghairah untuk melabur sehingga menggunakan akaun margin atau berhutang untuk melabur. Memang jika anda menggunakan margin, untung anda mungkin besar tetapi kerugian yang mungkin anda alami juga amat besar.

Mulakan dengan tabungan, kemudian dengan pelaburan saham. Secara perlahan-lahan, anda akan mendapati dana anda semakin besar, terutamanya jika pelaburan anda pulangan memuaskan.

Di samping itu, apabila kerjaya anda semakin maju, pendapatan anda akan bertambah dengan ketara dan jumlah wang yang anda tabung untuk melabur juga semakin besar. 

Kesimpulannya ialah jangan terburu-buru untuk melabur. Lakukannya langkah demi langkah, sedikit demi sedikit, secara konsisten dan tetap, dengan sasaran untuk membina dana yang besar dalam jangka panjang.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

As Salam Tuan,

Terima kashi atas panduan yang amat berguna.

Unknown berkata...

Wasalam, Sama-Sama