28 Januari, 2013

Sukuk DanaInfra: Pertama Untuk Pelabur Kecil

Instrumen bernama Exchange Traded Bonds & Sukuks Diperkenalkan

Setelah sekian lama, pelabur kecil di Malaysia kini boleh melabur dalam bon dan sukuk. Pelaburan ini boleh dibuat di Bursa Malaysia menerusi Exchange Traded Bonds & Sukuks atau Bon & Sukuk Dagangan Bursa, sama seperti membeli saham menerusi broker mereka.

Sukuk pertama yang diperkenalkan ialah DanaInfra Retail Sukuk. Sukuk DanaInfra bertujuan membiayai projek infrastruktur kebangsaan, terutamanya MRT. Pulangan Dana ini dijamin oleh kerajaan. Berikut adalah data penting tentang Sukuk Dana Infra:

Nilai muka: RM100 seunit.
Tarikh matang: Ulangtahun ke sepuluh selepas tarikh terbitan
Bayaran untung: 2 x setahun
Kadar untung: 4% (dinaikkan daripada cadangan asal 3.7%)
Status cukai: Bebas cukai
Langganan/Dagangan Minimum: RM1,000

Apabila disenaraikan di Bursa, dagangan minimum ialah satu lot, yang bersamaan 10 unit. Jika harga sukuk ialah RM100, maka nilai dagangan minimum ialah RM1,000. Perlu diingat bahawa, apabila disenaraikan, harga sukuk akan turun naik berasaskan bekalan dan permintaan semasa.
 
Baca Risalah Ini

Pelabur yang membeli sukuk boleh menyimpannya sehingga matang, atau menjualnya kepada pelabur lain melalui Bursa Malaysia.

Jika kita membeli pada harga lebih murah daripada nilai muka RM100, pulangan yang kita terima adalah lebih tinggi. Contohnya jika kita membeli pada harga RM90, bayaran kupon seunit yang kita terima ialah RM2 setiap enam bulan. Ini bermakna RM4 setahun. Pulangan sebenar yang kita terima ialah 4/90 = 4.44%

Sebaliknya jika kita membeli pada harga RM110, pulangan yang kita terima adalah lebih rendah.  Hasil pulangan yang kita perolehi pada harga RM110 ialah 4/110 =  3.6%.

Walaupun kadar yang ditetapkan ialah 4%, tetapi pulangan sebenar yang diterima bergantung kepada harga sukuk tersebut dibeli di pasaran. Menurut istilah bon dan sukuk, kadar 4% dinamakan kadar kupon (coupon rate) manakala manakala nilai sebenar yang diterima dinamakan hasil pulangan (yield).

Tidak dinafikan bahawa pilihan pelaburan ini sudah lama dinanti-nantikan, tetapi bagi pelabur Islam ia masih kurang menarik kerana lebih rendah daripada pulangan tahunan kira-kira 5% yang diberikan oleh Tabung Haji. Kadar pulangan Tabung Haji tidak dijamin tetapi ia kelihatan sangat stabil.

Antara manfaat yang dinyatakan dalam Pek Maklumat DanaInfra termasuk:
  • Peluang bagi pelabur mempelbagaikan pelaburan
  • Bayaran untung dijamin kerajaan
  • Bayaran wang pokok atau nilai muka dijamin kerajaan
  • Bayaran keuntungan dua kali setahun
  • Disenaraikan dan dijual beli di Bursa Malaysia
  • Keuntungan dikecualikan cukai
  • Pelaburan patuh Syariah

Buat masa ini, pelaburan ETBS ini masih kurang berbaloi bagi pelabur kecil Islam tetapi mungkin terdapat situasi di mana harganya turun lantas meningkatkan hasil pulangan atau mungkin terdapat produk lain yang menawarkan pulangan lebih tinggi pada masa depan.

Justeru, pelabur konservatif patut memerhatikan perkembangan terkini berkenaan produk ETBS. DanaInfra ialah satu permulaan yang baik dan kita tunggu dan lihat produk lain sepertinya pada masa depan.

Nota:  Patuh Syariah ialah berasaskan kriteria di Malaysia. Saya akan cuba selidik kontrak yang digunakan dan sama ada ia diterima pakai di negara-negara Timur Tengah.

23 Januari, 2013

FBM Emas Syariah dan Prestasinya

Apakah FBM Emas Syariah? Bagaimana mengukur prestasinya?

Saya menerima soalan di atas daripada pembaca. Sebenarnya saya pernah memberikan penjelasan umum tentang indeks saham dalam satu posting pada tahun 2010. Klik sini untuk membaca artikel tersebut.

Indeks pasaran saham mengukur prestasi pasaran saham, sektor pasaran saham atau segmen tertentu pasaran saham. Indeks terdiri daripada kumpulan saham tertentu. Indeks boleh digunakan untuk:
  1. Meninjau kedudukan seluruh pasaran atau bahagian, sektor atau segmen pasaran
  2. Menjadi penanda aras atau pengukur prestasi portfolio saham atau dana
  3. Ditiru pergerakannya menerusi unit amanah atau ETF supaya pelabur boleh melabur dalam indeks tersebut.
Indeks terbahagi kepada indeks umum dan indeks syariah.  Indeks yang lazimnya menjadi rujukan umum pasaran ialah Indeks FBM KLCI, yang terdiri daripada 30 saham bermodal terbesar di Bursa Malaysia. Bagi pelaburan patuh syariah, Indeks FBM Hijrah Syariah mewakili 30 saham patuh syariah terbesar.

Walaupun indeks ini menjadi rujukan utama, ia tidak mewakili keseluruhan pasaran. Indeks yang mewakili keseluruhan pasaran ialah FBM Emas, yang meliputi 98% daripada kesemua saham di Bursa Malaysia.

Kembali kepada soalan, apakah FBM Emas Syariah? Ia terdiri daripada semua saham dalam FBM Emas yang patuh Syariah. Jadi bagi pelabur yang hanya melabur dalam saham patuh syariah, indeks FBM Emas Syariah boleh dijadikan kayu pengukur untuk membandingkan prestasi mereka. 

Selain itu, indeks ini boleh dijadikan rujukan utama untuk menilai prestasi pasaran secara keseluruhan bagi mereka yang hanya berminat dalam saham patuh syariah. Banyak dana unit amanah juga menggunakan indeks ini sebagai penanda aras untuk membandingkan prestasi dana dengan prestasi indeks.

Di bawah ialah pergerakan indeks FBM Emas Syariah untuk tempoh 1 dan 5 tahun:



Dipetik daripada Bursastation

Kita boleh mengukur prestasi indeks dengan membuat perbandingan suku tahunan, tahunan atau tempoh lebih lama. Graf di atas memberikan gambaran umum tentang kenaikan indeks ini.

Selain itu, kita juga boleh membandingkan prestasinya dengan FBM KLCI. Kita lihat perbandingan prestasi FBM KLCI dengan FBM Emas Syariah untuk tempoh lima tahun lepas.


Dipetik daripada Bursastation

Kita dapat lihat bahawa pergerakan indeks ini adalah lebih kurang seiring, dengan indeks KLCI mencatatkan prestasi lebih tinggi sedikit.

Sebenarnya pergerakan indeks hanya memaparkan gambaran umum dan maklumat latar tentang kedudukan saham secara keseluruhan untuk membolehkan kita membuat keputusan yang lebih bijak dari segi pemilihan saham dan juga unit amanah.

Sebagai contoh, jika unit amanah patuh syariah yang kita tinjau sentiasa mencatatkan prestasi lebih lemah daripada penanda arasnya, iaitu indeks FBM Emas Syariah, maka kita tahu bahawa pengurus dana tidak memberikan sebarang nilai tambah kepada pelabur.

Pelabur boleh menggunakan indeks saham ini sebagai penanda aras dan alat untuk membantu  membuat keputusan pelaburan yang lebih bijak, sama ada dalam saham atau unit amanah.

16 Januari, 2013

Gunakan Laman Baru Bursa Untuk Selidik Saham

Kini semua maklumat lengkap boleh didapati dalam satu halaman

Pada tahun lepas, Bursa Malaysia telah menambah baik dan menaik taraf laman webnya.  Pelbagai ciri menarik telah disediakan untuk memudahkan pelabur. Ciri baru paling berguna kepada pelabur ialah semua maklumat syarikat kini boleh disemak dalam satu halaman.

Ini bermaka apabila pengunjung klik pada pautan nama syarikat, beliau akan dibawa ke satu halaman tinjauan keseluruhan, yang mengumpulkan semua data tentang syarikat, termasuk laporan penyelidikan yang disediakan menerusi skim CBRS dan bukan CBRS.

Pelabur yang berminat boleh klik pada List of Companies di bawah tajuk Listed Companies di laman web Bursa Malaysia.  Untuk memudahkan pembaca, saya berikan pautan terusnya di sini.

Apabila telah sampai ke halaman tersebut, anda hanya perlu klik pada nama syarikat yang ingin diselidiki dan satu halaman berbentuk 'dashboard' akan dipaparkan, yang memberikan semua maklumat dan pautan mengenai sesuatu syarikat.

Saya ambil contoh syarikat APM Automotive dan memaparkan screen capture info mengenai syarikat tersebut:



Maklumat yang boleh diperolehi daripada laman ini termasuk:
  1. Pautan kepada laman web, laporan tahunan dan mesyuarat agung syarikat.
  2. Data saham untuk hari yang berkenaan.
  3. Carta saham untuk tempoh 3 - 6 bulan dan 1, 3 & 5 tahun.
  4. Pengumuman terbaru yang dibuat kepada Bursa Malaysia termasuk laporan suku tahunan.
  5. Dividen terkini yang diumumkan dan dibayar
  6. Laporan penyelidikan terkini, jika ada, mengenai Syarikat.
Pendek kata, pelabur boleh menjadikan laman ini sebagai titik permulaan bagi semua penyelidikan mereka. Ini bermakna mereka sebenarnya tidak perlu melanggan untuk sebarang perkhidmatan saham selain daripada kemudahan yang disediakan oleh broker mereka, terutamanya jika mereka pelabur berasaskan fundamentals.  

Selain daripada maklumat ini, anda boleh melakukan news search untuk mengikuti perkembangan terkini tentang syarikat dan juga memuat turun laporan penyelidikan tambahan lain yang boleh dicari menerusi Google mengenai syarikat.

09 Januari, 2013

Pandangan Mobius Tentang Pasaran Malaysia

Masih ada potensi walaupun telah mencapai paras tertinggi

Ada pembaca yang meminta saya memberi pandangan tentang hala tuju pasaran saham pada 2013.  Saya tidak berani membuat ramalan dan ramai pelabur terkenal juga mengakui bahawa tiada siapa yang boleh meramalkan pergerakan pasaran secara konsisten. 

Walau bagaimanapun, ada beberapa tokoh pelaburan terkenal yang mempunyai pandangan umum tentang pasaran dan salah seorang daripadanya ialah Mark Mobius.

Mark Mobius ialah seorang pelabur tersohor yang memberi tumpuan dan melabur dalam saham negara-negara yang sedang membangun.  Beliau adalah pengerusi eksekutif Templeton Emerging Markets Fund.  Mobius ada menulis buku terkenal bertajuk Pasport to Profits.


Menurut Mobius, bagi Malaysia, beliau kini memberi tumpuan kepada syarikat kelapa sawit, perbankan, hartanah, penjagaan kesihatan dan pengguna. Indeks Malaysia telah mencapai paras tertinggi tetapi masih ada peluang menarik di sini kerana negara mengamalkan dasar yang mesra perniagaan dan disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang mantap.

Mobius berkata pada 2012, Malaysia mewakili 15% daripada pelaburan dalam dananya dan peratusan ini dijangka bertambah pada 2013. Sektor yang paling diminatinya bagi pasaran sedang membangun ialah komoditi dan pengguna.

Satu pemerhatian menarik yang dibuat oleh Mobius ialah mengenai fasa kenaikan dan penurunan pasaran.  Menurutnya pasaran yang naik (bull market) kekal lebih lama daripada pasaran menurun (bear market) di mana secara purata bull market berlanjutan selama 69 bulan dengan kadar kenaikan 423% manakala bear market lazimnya berlaku untuk tempoh 14 bulan dengan kadar penurunan 57%.

Buat masa ini, beliau mengakui bahawa ada saham yang agak mahal, jadi pelabur perlu bersedia keluar daripada saham yang mempunyai penilaian tinggi kepada yang lebih rendah.

Pandangan tersebut bersifat positif tetapi tidak harus diambil bulat-bulat kerana terdapat pandangan pakar lain yang tidak begitu positif tentang pasaran.  Perkara yang paling dikhuatiri ialah ketidakpastian yang wujud kerana pilihan raya pasti diadakan tahun ini.

Walau apa pun, kita tidak boleh meramalkan pasaran dengan tepat tetapi kita boleh memilih saham yang dijual pada nilai yang berpatutan.  Pendek kata beri tumpuan kepada prestasi syarikat dan bukannya tinjauan pasaran.

01 Januari, 2013

Pasaran Saham Naik Pada 2012?

Walaupun 30 saham utama naik, indeks yang lebih luas turun 

Headline dan ulasan mengenai pasaran saham pada tahun baru ini akan melaporkan bahawa pasaran saham telah naik sebanyak 10% dan mencatatkan prestasi yang memberangsangkan.  Ini kerana ukuran dibuat berasaskan kedudukan indeks FBM KLCI, yang hanya diwakili 30 saham dengan modal terbesar di BSKL

Tetapi jika kita meninjau pasaran secara keseluruhan, gambaran berbeza diperolehi.  Kita lihat prestasi FBM KLCI pada tahun 2012.


Bursastation

Kita dapati indeks ini meningkat lebih 10%. Mungkin ini disebabkan oleh minat terhadap saham-saham bermodal besar oleh pelabur institusi dan juga prestasi memuaskan syarikat tersebut.  Tetapi saya syak ada aktiviti window dressing di mana saham ini ditolak naik setelah jatuh pada bulan November. 

Pergerakan hari dagangan terakhir 2012  memberikan sedikit intaian tentang perkara yang berlaku.  Pada saat-saat terakhir, daripada nilai negatif, indeks telah naik secara mendadak sebanyak 7 mata membolehkan FBM KLCI ditutup pada paras tertinggi dalam sejarah.

Sebaliknya jika kita lihat FBM Mid 70, iaitu indeks saham yang mewakili 70 saham bermodal terbesar yang seterusnya selepas FBM KLCI, kita dapati gambaran yang sedikit berbeza.


Bursastation

Jelas bahawa saham dalam indeks ini juga mendapat perhatian pelabur institusi tetapi kenaikannya tidak sebesar FBM KLCI.  Mungkin indeks ini memberikan gambaran lebih adil tentang paras saham di BSKL.

Akhir sekali kita tinjau FBM Small Cap, yang meliputi hampir semua saham lain selain dariada 100 saham bermodal terbesar.


Bursastation

Anda mungkin terkejut bahawa nilai indeks sebenarnya turun sebanyak lebih 2%.  Perlu diingat indeks ini mewakili jauh lebih banyak saham berbanding FBM KLCI dan FBM 70.

Akhir sekali kita lihat gambaran pergerakan dua indeks, iaitu FBM KLCI dan FBM Small Cap dalam satu carta.  Perbezaannya sungguh ketara sekali.


 
Bursastation

Menurut Ken Fisher, tidak kira saham bermodal besar atau bermodal kecil, akhirnya dalam jangka panjang pulangan yang diberikan adalah sama. Ada masanya saham bermodal besar naik dengan ketara dan ada kalanya saham bermodal kecil yang naik.

Justeru pelabur harus mengambil kira hakikat ini dalam keputusan pelaburan mereka pada 2013.  Selain itu, pilihanraya yang pasti diadakan pada tahun ini juga menimbulkan ketidakpastian yang menyebabkan sukar meramalkan pasaran dalam jangka pendek.