24 Mac, 2013

Apollo Kukuh Dari Segi Prestasi dan Tunai

Syarikat kukuh tetapi keputusan beli bergantung kepada harga

Apollo ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam perniagaan pengeluaran makanan ringan, termasuk konfeksi coklat, wafer coklat dan kek lapis di bawah jenama Apollo dan Nikko.

Baru-baru ini Apollo kembali mendapat perhatian kerana mencatatkan prestasi suku kedua tahun kewangan yang amat memberangsangkan. Berikut adalah pergerakan harga saham Apollo dalam tempoh 5 tahun lepas.


Bursa Malaysia

Prestasi cemerlang yang dimaksudkan pada suku kedua ialah apabila syarikat mengumumkan EPS memberangsangkan sebanyak 9 56 sen, menjadikan EPS untuk separuh tahun sebanyak 19.58 sen. Keputusan ini nyata lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Sebagai perbandingan, berikut adalah prestasi 5 tahun syarikat antara tahun 2008 hingga 2012 yang diambil daripada Laporan Tahunan syarikat.



Harga penutup saham pada hujung minggu lepas ialah RM3.53.  Berasaskan keputusan semasa, jika syarikat dapat mengekalkan prestasi, ramalan EPS seluruh tahun ialah antara 35 - 39 sen.  Jika kita ambil nilai konservatif 35 sen, maka saham sekarang diperdagangkan pada nisbah P/E 10.

Pada tahun lepas dividen yang dibayar ialah 20 sen. Pada harga semasa, pulangan dividen bagi pelabur ialah kira-kira 5.6%.  Jika saham dibeli pada harga lebih rendah, lebih tinggi pulangan dividen yang diterima.  Ini belum mengambil kira potensi syarikat membayar dividen lebih tinggi kerana peningkatan prestasi.

Kedudukan tunai syarikat juga mantap, dengan tahap tunai bersih yang positif.  Ini bermakna syarikat boleh menggunakan tunai untuk menjelaskan sepenuhnya semua liabiliti, kedua-dua liabiliti jangka pendek dan dan juga jangka panjang.

Apollo ialah bukti yang menunjukkan bahawa saham syarikat yang kukuh, jika dipegang untuk jangka panjang, akan membuahkan hasil, dari segi dividen dan juga kenaikan harga.  Cuma persoalannya sekarang ialah lonjakan harga pertama telah berlaku selepas pengumuman keputusan.

Jika prestasi dikekalkan, tiada sebab harga tidak boleh naik lebih tinggi. Maka keputusan yang perlu dibuat tentang saham ini bagi pelabur yang belum membeli ialah harga yang sesuai, kerana syarikat memang kelihatan amat kukuh.
Mungkin kita boleh menunggu untuk harga saham turun sedikit, tetapi dalam keadaan tertentu yang pernah berlaku, jika syarikat terus mencatatkan prestasi yang baik, harga saham langsung tidak turun ke paras yang dikehendaki. Terpulang kepada pelabur untuk membuat pertimbangan sendiri.

Nota:  Posting ini dibuat atas permintaan pembaca.  Seperti biasa, pelabur perlu membuat penyelidikan sendiri sebelum mengambil sebarang tindakan. Catatan ini hanyalah untuk maklumat umum sahaja.

16 Mac, 2013

Pulangan Realistik Jangka Panjang Unit Amanah

Pelabur boleh sasar pulangan tahunan 8-14% untuk tempoh 5-10 tahun

Dari semasa ke semasa, saya membuat tinjauan tentang prestasi dana ekuiti patuh syariah.  Tinjauan kali ini bukan untuk menunjukkan dana mana yang cemerlang kerana pembaca boleh menilai sendiri daripada jadual di bawah. Sebaliknya saya ingin memberikan unjuran pulangan realistik yang boleh diterima oleh pelabur dana ekuiti dalam jangka panjang.

Kini semakin banyak dana patuh syariah yang mempunyai rekod pencapaian 10 tahun. Pada pendapat saya, 10 tahun ialah tempoh masa yang cukup lama dan cukup adil untuk menilai prestasi dana. Jika dana gagal catatkan prestasi yang baik dalam tempoh 10 tahun, bila lagi?

Jadual di bawah menunjukkan prestasi dana unit amanah ekuiti patuh syarikat yang dinilai mengikut prestasi sepuluh tahun (lihat pada ukuran paling kanan sekali).

Morningstar Malaysia
 
Berasaskan jadual di atas, terdapat perbezaan prestasi yang ketara antara dana. Jika kita tersalah pilih dana, memang pulangan kita jauh ketinggalan. Kita dapati prestasi yang munasabah untuk disasarkan ialah pulangan terkompaun tahunan 8 - 14% untuk jangka masa 5 - 10 tahun.

Berikut adalah jadual prestasi dana yang dinilai berasaskan tempoh 5 tahun.

Morningstar Malaysia

Sementara itu, pulangan pelaburan bagi tempoh 5 tahun pula rata-rata pada paras antara 3 - 10%. Pulangan 5 tahun lebih rendah daripada 10 tahun kerana berlaku kegawatan ekonomi pada 2009, jadi prestasi kebanyakan dana terjejas. Tempoh 10 tahun memberikan gambaran yang lebih tepat terhadap prestasi dana.

Kita juga akan mendapati bahawa pulangan 3 tahun lebih tinggi daripada 5 tahun kerana pengiraan untuk tempoh ini bermula apabila saham berada pada paras rendah selepas kegawatan pada tahun 2008/2009.

Kesimpulan yang boleh dibuat berasaskan perbezaan pulangan ketara dalam tempoh masa yang berbeza ialah timing amat penting jika pelaburan dibuat untuk jangka masa lebih pendek. Bila anda membeli unit amanah akan turut menentukan pulangan yang diterima. Tetapi dalam jangka panjang, pulangan akan bersifat lebih stabil.

Selain itu, prestasi dana juga perlu dibandingkan dengan indeks pasaran. Perbandingan boleh dibuat dengan sebuah dana pasif yang menjejak indeks FBM KLCI, iaitu OSK-UOB KLCI Tracker,yang menghasilkan pulangan terkompaun tahunan 5.37% untuk tempoh 5 tahun dan 11.38% untuk tempoh 10 tahun.

Ini menunjukkan bahawa tidak banyak dana yang berjaya menewaskan prestasi dana pasif yang menjejak pergerakan indeks dalam tempoh tersebut, dan ini belum lagi mengambil kira kos jualan dana yang nyata lebih tinggi bagi dana ekuiti biasa berbanding dana indeks pasif.

(Nota: Lazimnya penanda aras dana patuh syariah ialah indeks FBM Emas, tetapi tiada dana atau ETF yang boleh dibeli oleh pelabur untuk menjejak indeks tersebut.) 

Ada dua lagi perkara penting yang perlu dipertimbangkan apabila menilai pulangan di atas. Pertama, pulangan belum mengambil kira kos jualan dana ekuiti, yang kemungkinan besar antara 3 - 5.5%.  Kos tersebut mungkin mengurangkan pulangan terkompuan tahunan sebanyak sehingga 0.5%

Perkara kedua yang perlu diberi perhatian ialah pulangan ini hanya diterima oleh pelabur yang membeli dan memegang untuk tempoh yang dinyatakan. Banyak penyelidikan akademik, terutamanya di AS, yang mendapati bahawa pelabur suka melakukan market timing dan menjual beli dana lebih kerap. 

Ini  menyebabkan pulangan yang diterima kebanyakan pelabur adalah lebih rendah daripada pulangan yang dicatatkan oleh dana akibat kesilapan timing dan juga kos jual beli secara lebih kerap.

Cara yang lebih selamat dan berkesan untuk melabur dalam unit amanah ialah dengan memilih satu dana yang baik dan memegangnya untuk jangka panjang.

04 Mac, 2013

UMS Holdings Mantap Tetapi Diabaikan

EPS 32 sen; Dividen 10 sen; Paras Hutang Rendah; NTA RM3.13

Syarikat Union Motor Supply Holdings telah ditubuhkan pada tahun 1941 dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 1995. Syarikat ini terlibat dalam pengedaran alat transmisi kuasa mekanikal, sistem pengendalian bahan dan alat ganti perindustrian.

Syarikat berkhidmat kepada pelbagai industri termasuk minyak sawit, gula, kuari, simen, getah, balak dan pembuatan.

UMSH baru sahaja menerbitkan laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2012, di mana syarikat mencatatkan pendapatan sesaham sebanyak 32 sen dan telah mengumumkan pembayaran dividen 10 sen.

Sejak sebulan lepas saham ini diperdagangkan di antara harga RM1.85 hingga RM1.95.  Berasaskan harga median RM1.90, maka saham ini memberikan hasil dividen sebanyak 5.25% dan juga mempunyai nisbah harga pendapatan (PE) 6 kali, atau jika kita terbalikkan nisbah ini, kita mendapat pulangan pendapatan atau earnings yield sebanyak 16%.

Malah syarikat juga baru-baru ini mengumumkan keputusan bagi suku pertama berakhir 31 Disember 2012 (bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2013).  UMSH telah mencatatkan EPS sebanyak 7.64 sen, lebih tinggi sedikit daripada suku yang sama tahun lepas.

Syarikat mempunyai  paras hutang yang rendah dan berasaskan keputusan suku terakhir, NTA syarikat ialah RM3.13, agak jauh lebih tinggi daripada harga saham.

Berikut adalah pergerakan harga saham UMSH sejak tempoh 5 tahun lepas:

Dipetik daripada Bursa Malaysia

Nota: Abaikan kenaikan mendadak di hujung carta kerana mungkin merupakan kesilapan dagangan.

Rekod Pendapatan Sesaham Untuk Tempoh 5 tahun lepas (sen):

2012    32.3
2011    27.3
2010    21.5
2009    17.2
2008    21.4

Syarikat juga mempunyai paras hutang yang rendah dan berada dalam keadaan tunai bersih positif.  Ini bermakna jika mahu, syarikat boleh menjelaskan semua liabilitinya menggunakan tunai yang dipegang dan masih mempunyai tunai dalam syarikat.

Saham ini adalah saham yang bermodal sangat kecil dan tidak mendapat perhatian langsung daripada pelabur institusi. Malah tidak ada penganalisis yang meninjau saham ini.  Sebab itulah harga sahamnya rendah. Walaupun saham ini tidak banyak diperdagangkan tetapi ada cukup aktiviti dagangan untuk melakukan urusan jual beli jika perlu.

Nota:  Seperti biasa pelabur perlu membuat penilaian sendiri dan ini bukan cadangan untuk membeli sebaliknya merupakan artikel hanya untuk menyampaikan maklumat. Sebagai pendedahan, saya juga memiliki saham ini.